Friday, March 14, 2008

ZAMAN SEBELUM KEDATANGAN ISLAM












Pada zaman ini, bangsa Arab berada pada tahap yang rendah. Mereka tenggelam dengan arak, perjudian dan penyembahan berhala. Anak-anak perempuan dianggap barangan yang memalukan dan mereka menanam bayi perempuan mereka hidup-hidup kerana bimbang mendapat malu.




Wanita dalam masyarakat Arab pada ketika ini menjadi barangan yang boleh diwarisi seperti mana mereka mewarisi wang atau binatang ternakan. Seorang lelaki boleh mengahwini ramai wanita tanpa had. Kadang kala mereka membunuh anak-anak sendiri kerana bimbang mereka akan mendatangkan kepapaan. Mereka juga mengkhususkan makanan tertentu untuk diri mereka dan melarang isteri-isteri dan anak-anak mereka memakannya.




Perhambaan dan pengkhianatan adalah perkara biasa dalam masyarakat Arab ketika ini. Feudalisme kesukuan menjadi perkara biasa. Pertempuran-pertempuran besar dilancarkan hanya disebabkan oleh perkara-perkara yang remeh seperti keputusan lumba kuda. Selama beberapa abad, rumah yang dibina oleh Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail di Mekah (Kaabah) telah dijadikan tempat berhala dan penyembahan berhala mereka.






Ketika Nabi Muhammad SALLALLAHU 'ALAIHI WASALLAM dilahirkan, terdapat 360 berhala yang telah dibina dan diletakkan di dalam dan di sekeliling Kaabah. Namun, suku-suku kaum di kawasan berdekatan telah menyelewengkan amalan haji yang diperkenalkan oleh Nabi Ibrahim kepada amalan penyembahan berhala.






Mereka berlari di sekeliling berhala-berhala ini dalam keadaan bertelanjang sambil bersiul dan bertepuk tangan. Penyembah-penyembah berhala Arab percaya akan Tuhan, tetapi mereka menganggapnya sebagai Tuhan 'Tertinggi' dan perlu diwujudkan tuhan 'perantaraan' (iaitu berhala-berhala) yang bertindak sebagai orang tengah antara mereka dengan Tuhan/ Allah.